Pergi ke kandungan

Inteam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Inteam
Juga dikenali
sebagai
In-Team (2000-2005)
AsalMalaysia Malaysia
GenreNasyid
Tahun aktif2000-kini
DiskografiLihat: Inteam discography (en) Terjemah Sunting nilai ini di Wikidata
Syarikat rakamanHijjaz Records (2000-2005)
Inteam Records (2005-kini)

Label Edaran:
NAR Records (2000-2003)
EMI Music Malaysia (2003-07)
Warner Music Malaysia (2008-14)
Sony Music Malaysia (2015-19)
Universal Music Malaysia (2020-kini)
Anggota semasa
Bekas anggota
Suhaimi Saad (2000-2005) (meninggal dunia pada 15 November 2023)
Pautan berkaitan
Pautan lainFacebook: official.inteam Twitter: InteamNasyid Instagram: official_inteam Spotify: 4V3ZO3RnRFdpS10jbUTJaT Apple Music: 158168038 Musicbrainz: 05cdfaf4-fda0-48af-aa54-8e6c427323bb Sunting ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Inteam (dahulu In-Team) merupakan sebuah kumpulan nasyid Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Inteam diperkenalkan menerusi lagu "Kasih Kekasih" sekitar tahun 2000 di bawah pengurusan Hijjaz Records. Kumpulan ini juga seangkatan dengan kumpulan UNIC, Aeman dan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama.

Perjalanan Karier

[sunting | sunting sumber]

1998: Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan In-Team telah ditubuhkan secara tidak rasmi pada tahun 1998 oleh beberapa orang mahasiswa yang ketika itu baru sahaja menjejakkan kaki di Pusat Matrikulasi UIA Kampus Lembah Pantai dan antara barisan terawal In-Team pada ketika itu ialah Syah, Hazamin, Izzat Mahadi (bekas anggota kumpulan Mirwana), Akmal (kini anggota Mirwana) serta beberapa orang lagi mahasiswa dari fakulti kejuruteraan dan undang-undang. Nama In-Team telah dicadangkan oleh sahabat mereka, Kamaruzaman atau KZ yang dahulunya merupakan anggota kumpulan Suara SMAKL yang turut melahirkan kumpulan nasyid NowSeeHeart.

Pada masa yang sama, terdapat sebuah lagi kumpulan nasyid utama di UIA iaitu kumpulan Husaini di kumpulan ini merupakan kumpulan nasyid yang mewakili kampus secara rasmi. Seperti In-Team, Husaini juga mempunyai anggota yang ramai antaranya Hisyam, Rahim, Ariffin (kemudian menyertai Hijjaz) dan Amin Idris (kini pengacara & motivator). Pada ketika itu, industri nasyid sangat meriah dan mendapat tempat di hati peminat dengan kemunculan beberapa kumpulan nasyid ternama seperti Brothers, NowSeeHeart, Raihan, Hijjaz, Rabbani, Saujana dan lain-lain lagi. Hal ini meniupkan lagi semangat mereka untuk menjadi artis nasyid yang terkenal seperti sifu-sifu mereka.

Perjalanan seni kumpulan In-Team bermula apabila mereka telah diundang untuk membuat persembahan-persembahan di dalam dan luar kampus di mana salah satunya ialah persembahan pembukaan di sekolah lama Hazamin iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di Temerloh, Pahang. Pada malam itu kumpulan Hijjaz turut sebagai tetamu VIP dan membuat persembahan di sekolah yang sama. Selain itu, mereka turut membuat persembahan dalam konsert "KAWAN" di dalam kampus mereka yang mana konsert ini turut dihadiri oleh kumpulan Hijjaz. Konsert itu ternyata membawa nama In-Team dalam arus perdana apabila kumpulan Hijjaz telah memanggil mereka ke sesi ujibakat untuk menjadi artis rakaman Hijjaz Music Entertainment (HME).

In-Team yang pada ketika itu dianggotai Syah, Hazamin, Ariffin, Masnawi dan Fakhri telah mempersembahkan bakat mereka dengan baik dan berjaya menambat hati anggota Hijjaz untuk diserap sebagai ahli keluarga HME. Bagaimanapun, In-Team tidak terus menandatangani kontrak untuk menghasilkan album, sebaliknya mereka menimba ilmu nasyid dengan Hijjaz terlebih dahulu selama setahun. Dalam tempoh itulah mereka mengikuti Hijjaz setiap kali kumpulan itu membuat persembahan pentas di seluruh Malaysia dan selalunya In-Team akan menjadi penyanyi latar bagi kumpulan tersebut. Dalam masa yang sama, In-Team turut diamanahkan oleh Hijjaz untuk menjadi penyanyi latar untuk album sulung kumpulan nasyid kanak-kanak iaitu Aeman yang juga artis naungan pertama Hijjaz Music Entertainment.

1999-2000: Senarai Akhir In-Team, Album Kasih Kekasih & Respon Peminat

[sunting | sunting sumber]

Menjadi lumrah bagi mana-mana kumpulan nasyid yang bergiat aktif di universiti, In-Team juga mengalami pertukaran anggota. Faktor komitmen dan keserasian telah menyebabkan Ariffin, Masnawi & Fakhri mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjuangan bersama Inteam. Bagi Syah & Hazamin pula, mereka telah mencari 2 anggota gantian untuk melengkapkan senarai akhir Inteam dengan dibantu oleh pihak pengurusan Hijjaz Music Entertainment. Akhirnya, Inteam berhasil mendapatkan dua anggota baharu iaitu Hisyam yang merupakan salah seorang kenalan mereka dari kumpulan Husaini serta seorang pelajar jurusan Bahasa Arab UIA bernama Suhaimi yang juga kenalan Hazamin ketika zaman persekolahan dahulu. Dengan penyertaan Hisyam dan Suhaimi, maka Inteam secara rasminya menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Hijjaz Music Entertainment dan telah memulakan sesi rakaman selain menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Hijjaz setiap kali kumpulan tersebut mengadakan persembahan pentas di seluruh Malaysia.

Pada tahun 2000, Inteam telah melahirkan album studio pertama mereka yang diberi judul Kasih Kekasih, terbitan Hijjaz Music Entertainment dengan kerjasama NAR Records sebagai pengedar album. Album ini telah memperkenalkan nama Inteam dalam industri muzik tanah air apabila single utama mereka, Kasih Kekasih mula mendapat tempat di hati peminat seterusnya mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit. Kejayaan album ini turut melayakkan mereka untuk mendapat anugerah platinum daripada Hijjaz Records.

Dengan hitnya lagu Kasih Kekasih ini, ia sedikit sebanyak mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Kebanyakannya menerima baik lagu tersebut kerana mengandungi nilai-nilai positif yang boleh diambil. Namun, ada juga yang memandangnya dari sisi negatif kerana berpendapat lagu ini akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menjalinkan cinta pada usia yang muda sehinggakan Inteam pernah ditegah dari menyanyikan lagu tersebut setiap kali mereka mengadakan persembahan pentas di dalam UIA. Lama-kelamaan, kontroversi itu semakin pudar dan orang ramai mula menerima baik lagu tersebut setelah memahami lirik dan intipati lagu tersebut.

2001: Impian Kasih

[sunting | sunting sumber]

Setelah setahun Inteam menghasilkan album pertama, mereka muncul pula dengan album kedua yang berjudul Impian Kasih pada tahun 2001 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertainment dengan NAR Records masih lagi bertindak sebagai pengedar album. Album ini telah menaikkan lagi nama Inteam dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka antaranya Impian Kasih, Insan Taqwa, Hembusan Kasturi, Selamatkan Dunia dan sebuah lagu srikandi bertajuk Rabiatul Adawiyah. Sebuah lagu ciptaan Suhaimi Inteam bersama gurunya, Ustaz Khairul iaitu Lilin Seorang Guru turut dimuatkan dalam album ini.

Pada waktu ini, Hijjaz dan NAR Records telah mengeluarkan peruntukan yang besar dalam penghasilan album kedua setelah melihat kejayaan album Kasih Kekasih. Dengan kelebihan tersebut, Inteam kelihatan agak kehadapan dari segi penghasilan album dengan kemudahan studio rakaman yang lebih canggih sekaligus mempamerkan kualiti bunyi yang lebih baik. Di samping itu, susunan muzik Inteam juga menjadi lebih mantap & kreatif berbanding sebelumnya hasil khidmat beberapa pemuzik profesional seperti Along, Musa dan Ujang dari kumpulan Exists dan ramai lagi.

2002-2003: Ujian Pertama In-Team, Debut Rahim & Album Damba Kasih

[sunting | sunting sumber]

Dikala Inteam sedang giat mempromosikan album kedua mereka, ahli-ahli Inteam sudahpun berada di tahun kedua pengajian dan jadual mereka juga semakin padat dari hari ke hari. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan jadual mereka mula berlainan terutamanya Hisyam yang pada ketika itu hendak menghabiskan pengajiannya dengan lebih awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan. Anggota Inteam yang lain sememangnya memahami keadaan Hisyam pada ketika itu namun tidak bagi pihak pengurusan.

Kesibukan tersebut telah menimbulkan ketegangan antara Hisyam dengan pihak pengurusan, tambahan pula Hisyam merasakan bahawa bayaran yang diterima oleh beliau dan rakan-rakannya tidak setimpal dengan persembahan pentas yang diterima setiap bulan. Konflik ini menjadi parah apabila Hisyam direhatkan oleh pihak pengurusan dalam satu tempoh yang tidak jelas menyebabkan karier Inteam sedikit terganggu ketika itu. Biarpun Hisyam ada mengajak rakan-rakannya untuk mencari syarikat rakaman lain untuk meneruskan karier mereka, namun Syah, Hazamin & Suhaimi merasakan bahawa masih banyak perkara yang mereka perlu pelajari bersama Hijjaz Records sebelum mengambil keputusan untuk bergerak sendiri.

Atas faktor tersebut, Inteam memilih untuk kekal bersama pihak pengurusan dan secara tidak langsung, Hisyam tidak lagi bersama Inteam. Pada masa yang sama, Inteam bersama artis Hijjaz Music Entertainment yang lain iaitu UNIC dan Ae-man tampil dengan sebuah album kompilasi yang berjudul Nur Kasih di mana album tersebut menghimpunkan lagu-lagu hit dari ketiga-tiga kumpulan tersebut. Album kompilasi ini turut menampilkan sebuah lagu baharu Inteam pada ketika itu iaitu Nur Kasih, ciptaan Munif Hijjaz di mana rakaman lagu ini hanya menampilkan tiga anggota sahaja iaitu Syah, Hazamin dan Suhaimi. Lagu ini ternyata mudah mendapat tempat di hati peminat sekaligus menjadikan ianya lagu Inteam yang paling "berhantu" sehingga kini.

Keluarnya Hisyam daripada Inteam meninggalkan lompong yang agak besar serta mengejutkan ramai pihak di kala nama mereka berada di puncak. Untuk menutup kelompongan tersebut, Syah & Hazamin telah membawa masuk Abdul Rahim untuk melengkapkan kembali barisan anggota Inteam. Bersama Abdul Rahim, Inteam kemudiannya melahirkan album studio ketiga berjudul Damba Kasih pada tahun 2003 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertaiment dengan NAR Records kekal sebagai pengedar album. Album ini menampilkan banyak lagu hit seperti Damba Kasih, Sentuhanmu, Bisikan Nurani dan sebuah lagu srikandi berjudul Ratu Syahadah. Lagu Nur Kasih yang terkandung dalam album kompilasi Nur Kasih sebelum itu juga dimasukkan semula ke dalam album Damba Kasih di trek kelapan (trek pertama di muka dua atau "Side B" untuk versi kaset).

2004: In-Team '04

[sunting | sunting sumber]

Berikutan kejayaan album ketiga mereka, Inteam tidak lagi menoleh ke belakang dengan menghasilkan material untuk album mereka yang seterusnya. Hijjaz Records ternyata tidak kedekut untuk mengeluarkan bajet yang lebih besar untuk menghasilkan album keempat Inteam, malah pada ketika ini juga Hijjaz Records telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang terkemuka iaitu EMI setelah kontrak edaran album bersama NAR Records tamat pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2004, lahirlah album keempat In-Team yang mula menampakkan beberapa kelainan berbanding tiga album sebelumnya. Album ini diberi judul In-Team '04 dan tidak lagi menggunakan perkataan "kasih" seperti album-album sebelumnya. Kelainan ini juga kelihatan jelas dari segi susunan muzik dalam setiap lagu di mana mereka turut mencuba elemen "world music" dalam lagu bertajuk Az-Ziarah yang juga sebuah lagu Arab lama nyanyian Habib Asasi dari negara Yaman. Selain itu, album ini hanya memuatkan 10 buah lagu sahaja dan tiada lagi "narration" sepertimana yang terkandung dalam tiga album sebelumnya.

Album ini diberi nama In-Team '04 kerana album ini merupakan album studio In-Team yang keempat, dikeluarkan pada tahun 2004 dan dianggotai oleh 4 orang. Album ini juga merupakan antara album terbitan Hijjaz Records yang terawal diedarkan oleh EMI selain album See You Di IPT (UNIC) dan Sendu Sendawa (Mestica). Antara lagu hit dalam album ini ialah Setanggi Syurga, Kasihku Abadi, Kalimah Cinta dan sebuah lagu srikandi yang berjudul Halimatus Saadiah. Salah satu lagu dalam album ini iaitu Keredhaan-Mu dicipta oleh Hazamin bersama rakan sebiliknya di UIA dahulu iaitu Zamre Khan. Album In-Team '04 merupakan album terakhir In-Team di bawah Hijjaz Records sebelum mereka mula bergerak sendiri pada tahun 2005.

2005-2006: Pengunduran Suhaimi, In-Team Kepada Inteam & Album Tiada Lagi Kasih

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2004, kumpulan Inteam telah meminta keizinan daripada Hijjaz Records untuk menguruskan kerjaya seni mereka sendiri tanpa bantuan staf-staf Hijjaz Records dan pada masa yang sama telah menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu Inteam Edutainment. Pada mulanya, mereka menggunakan salah sebuah bilik di rumah sewa Hazamin sebagai pejabat Inteam Edutainment memandangkan Hazamin telahpun mendirikan rumah tangga sejak 2002 dan mempunyai seorang anak pada waktu itu.

Sebelum kontrak mereka dengan Hijjaz Records tamat, Inteam sempat muncul dengan lagu Kerana Cinta bersama kumpulan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama. Pada tahun 2005, seperti kebiasaannya anggota kumpulan Hijjaz meminta Inteam untuk sekali lagi menyambung kontrak bersama Hijjaz Records. Namun pada ketika itu, anggota Inteam menolak secara baik tawaran tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk mereka bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Keputusan ini ternyata mengecewakan anggota-anggota Hijjaz dan merasakan Inteam seolah-olah mula lupa diri, namun hakikatnya Inteam juga ingin mencontohi kejayaan Hijjaz dengan cara mereka sendiri.

Konflik yang berlaku ini telah mendorong kepada penjenamaan semula In-Team menjadi Inteam demi mengelakkan sebarang isu yang timbul antara mereka dengan Hijjaz Records sambil menyatakan bahawa mereka terinspirasi oleh kejayaan guru-guru mereka setiap kali wartawan mengajukan pertanyaan kepada mereka mengenai Hijjaz. Namun di kala mereka memulakan langkah untuk bergerak sendiri, Suhaimi mula berbelah bahagi kerana dirinya masih lagi menyayangi anggota-anggota Hijjaz dan tidak bersedia lagi untuk meninggalkan Hijjaz Records.

Setelah pertimbangan dibuat, Suhaimi mengambil keputusan untuk menyambung kontrak bersama Hijjaz Records dan menganggap beliau sudah tidak lagi sehaluan dengan Inteam. Pada masa yang sama, Inteam Edutainment secara rasminya dinaik taraf menjadi Inteam Records Sdn. Bhd. dan telah mempunyai beberapa orang pekerja dengan sebahagiannya merupakan sahabat Inteam di UIA. Dengan tertubuhnya Inteam Records, Inteam telah memulakan usaha untuk menghasilkan album mereka sendiri dan mula mendapatkan khidmat rakan-rakan dalam arena nasyid untuk penciptaan dan penyusunan lagu antaranya Abu Bakar Raihan (lagu Cintailah Ilahi), Fadzli Fareast (lagu Segenggam Tabah), Akmal Mirwana (lagu Tanpa-Mu) dan juga Frizdan (lagu Pemergianmu).

Selain itu, Inteam juga berkolaborasi bersama artis-artis nasyid lain seperti Nazrey Johani menerusi lagu Kehidupan dan Muaz Dzulkefly menerusi lagu Selawat Badrul 'Ain. Inteam juga telah mengetengahkan lagu ciptaan mereka sendiri dalam album ini, antaranya Senandung Budi ciptaan Rahim, Stand Together ciptaan Syah dan Taman Firdausi ciptaan Hazamin.

Setelah hampir setahun memerah keringat, akhirnya Inteam berjaya menghasilkan album kelima yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006, yang juga album pertama di bawah penerbitan mereka sendiri iaitu Inteam Records serta menjalin kerjasama dengan EMI sebagai pengedar album. Album ini mengembalikan semula identiti album-album Inteam yang terdahulu di mana album ini mengandungi 2 narration oleh Ustaz Dinie Juri. Album ini menunjukkan kemampuan mereka dalam menghasilkan album mereka sendiri dan seterusnya menaikkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena seni.

2007-2013: Bergabung Dengan Bekas Anggota

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007, Inteam sekali lagi menghasilkan album studio dan judul albumnya kali ini ialah Nur Insani. Album ini merupakan album pertama Inteam yang berkonsepkan jalan cerita di mana lagu-lagu yang terkandung dalam album ini disusun mengikut permulaan hidup manusia dari lahir sehinggalah meninggal dunia. Album ini juga merupakan album pertama Inteam yang menampilkan salah seorang bekas anggotanya iaitu Hisyam yang telahpun mengecapi kejayaanya bersama kumpulan DeHearty. Dua tahun selepas itu, Inteam telah menghasilkan album ketujuh yang berjudul Allahu Rabbi. Album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia ini boleh dianggap sebagai album yang istimewa kerana mereka telah menjemput Hisyam dan Suhaimi, menjadikan album ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. Album ini turut mengubah nasib kumpulan Inteam itu sendiri apabila mereka berjaya merangkul anugerah menerusi lagu "Dia Muhammad" dan album Allahu Rabbi dalam AIM ke-17 yang berlangsung pada tahun 2010. Lagu "Dia Muhammad" diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam tersebut yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2013, Inteam sekali lagi menjemput Hisyam Ahmad dan Suhaimi Saad untuk menyertai album kelapan mereka yang bertajuk Iman & Aman. Album ini menampilkan gabungan muzik nasyid yang matang dan mesej keagamaan yang mendalam, sekaligus mengukuhkan lagi reputasi Inteam dalam industri.

Antara lagu yang paling menonjol ialah Iftar, sebuah karya istimewa ciptaan Syahril Inteam, yang menjadi kegemaran ramai dan sering diperdengarkan semasa bulan Ramadan.Album ini turut mencerminkan perjalanan seni Inteam yang sentiasa berinovasi kreatif dalam berkarya sambil mengekalkan identiti dakwah mereka.

2014-Kini: Ujian Getir Syah, Kembalinya Hisyam Bersama Inteam & Pemergian Suhaimi

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 2014, dunia nasyid telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan di mana penyanyi utama Inteam, Syah telah terkena jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan beliau mengalami batuk yang amat teruk di samping mengalami penyusutan berat badan yang sangat drastik. Keadaan menjadi lebih genting apabila keadaan kesihatan Syah semakin menurun dan mula tidak sedarkan diri dan ketika itulah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa harapan beliau untuk hidup semakin tipis.

Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dua anggota Inteam yang lain iaitu Hazamin dan Rahim di mana mereka berasa sangat sedih dan buntu memikirkan sahabat mereka. Namun dengan izin Allah, keajaiban telah berlaku di mana Syah sembuh seperti sediakala berkat usaha para doktor dan juga doa dari orang sekeliling. Namun begitu, Hazamin dan Rahim meminta Syah untuk berehat seketika daripada aktiviti seni dan pada ketika itulah mereka memanggil Hisyam untuk bersama mereka menjayakan persembahan-persembahan di institusi-institusi pengajian di dalam dan luar negara.

Pada tahun 2015, Inteam telah mengumumkan bahawa mereka kembali berempat dengan kemasukan semula Hisyam sebagai anggota tetap. Dengan kembalinya Hisyam, Inteam telah menghasilkan sebuah album kompilasi iaitu Miracle Hits Inteam, di mana album ini menghimpunkan semula lagu-lagu hit Inteam dari album Kasih Kekasih sehingga album Iman & Aman. Album ini turut menampilkan single terbaru mereka berjudul #suratcinta yang menceritakan tentang Al-Quran. Single ini diterima dengan sangat baik oleh para peminat.

Pada tahun 2018, Inteam telah terpilih untuk menyertai Gema Gegar Vaganza 2 anjuran Astro. Mereka berjaya mara ke pusingan akhir dan mendapat tempat keempat. Selepas penyertaan tersebut, mereka muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Dia, ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syah Inteam. Single ini turut diserikan lagi dengan penampilan pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak mereka di dalam video klip.

Pada tahun 2020, Inteam telah melancarkan single baharu mereka iaitu Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad dan menampilkan seorang instafamous terkenal iaitu Aisyah Hijanah. Kemudian pada 12 Disember 2020, Inteam telah mengadakan Konsert Inteam 20 Tahun sempena tahun ke-20 Inteam berada dalam industri muzik tanah air. Konsert yang mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Geran Dana Kandungan Digital (DKD) ini berlangsung dengan meriah sekali di mana mereka turut menjemput beberapa artis terkenal tanah air seperti Hijjaz, UNIC, Fitri Haris, Suffian Amrin, Khai Bahar, Lah Ahmad, Ikhwan Fatanna dan juga kumpulan Exists.

Rahim Inteam sebak ketika menziarahi kubur sahabatnya arwah Suhaimi Saad.

Pada 15 November 2023, Inteam menerima berita duka apabila sahabat mereka, yang juga bekas anggota kumpulan, Suhaimi Saad, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada jam 7.40 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Pemergian beliau berlaku dengan tiba-tiba, mengejutkan ahli keluarga, rakan-rakan, serta sahabat seperjuangan dalam dunia muzik nasyid, dan meninggalkan kesedihan mendalam kepada semua yang mengenalinya.

Kehilangan Suhaimi bukan sahaja mengejutkan para peminat setia yang sentiasa mengikuti perkembangan beliau, tetapi juga menggugah emosi ramai penggiat seni yang mengenali dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang kerjaya. Sepanjang hayatnya, Suhaimi dikenali sebagai individu yang rendah hati, berbakat besar, dan penuh semangat dalam menyebarkan mesej keagamaan melalui muzik nasyid. Pemergiannya meninggalkan kekosongan yang sukar diisi, namun karya-karya dan kenangan manis bersamanya akan terus hidup dalam ingatan semua yang mengenalinya.

Bagi ahli Inteam, pemergian sahabat mereka ini adalah satu kehilangan yang amat dirasai; setiap detik kenangan, setiap persembahan, dan setiap tawa bersama kini menjadi memori berharga yang akan terus dikenang. Pemergian Suhaimi Saad bukan sahaja menandakan berakhirnya satu era, tetapi juga mengingatkan kita tentang betapa rapuhnya kehidupan, dan betapa pentingnya menghargai setiap detik bersama insan yang kita kasihi.

Anggota Kumpulan

[sunting | sunting sumber]
Ahli Inteam Terkini dari kiri: Rahim, Hazamin, Hisyam dan Syahril

Anggota Terkini

Bekas Anggota

  • Mohd Suhaimi bin Saad atau Suhaimi Saad mula menganggotai Inteam pada tahun 2000 sebelum bergerak secara solo pada 2005. Beliau kembali ke rahmatullah pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru, meninggalkan kesedihan yang mendalam dalam kalangan peminat dan penggiat muzik nasyid.
  • Pemergian Suhaimi Saad meninggalkan legasi yang besar melalui karya-karya nasyidnya yang penuh makna, mesej keagamaan, dan pengaruhnya dalam membentuk perjalanan muzik nasyid tanah air. Suara, persembahan, dan sumbangannya akan terus dikenang, menjadi inspirasi dan warisan yang tidak akan dilupakan oleh generasi peminat setia.

Garis Masa

[sunting | sunting sumber]

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album Studio

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
2000 Kasih Kekasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 80,000 unit
2001 Impian Kasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 50,000 unit
2002 Damba Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records 50,000 unit
2004 In-Team '04 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2006 Tiada Lagi Kasih Inteam Inteam Records EMI
2007 Nur Insani (menampilkan Hisyam) Inteam Inteam Records EMI
2009 Allahu Rabbi (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music
2010 Nur Muhammad (menampilkan Hisyam, Suhaimi & kumpulan UNIQUE) Inteam Inteam Records Warner Music
2013 Iman & Aman (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music
2017 Zikir Hati Inteam Inteam Records Inteam Records
2024 Zikir Hati 2 Inteam Inteam Records Inteam Records
Tahun Judul Lagu Komposer Penulis Lirik Label Album (jika ada)
2005 Kerana Cinta (bersama Mestica) Putra Aiman Lukhman S Hijjaz Records
  • Layar Keinsafan (album Mestica)
  • Kalimah Cinta 2
  • Inteam 20 Tahun
2015 #suratcinta Abu Yusuf Al-Menara Shaykh Hamza Yusuf Inteam Records
  • Miracle Hits Inteam
  • Inteam 20 Tahun
2016 Jangan Menghina (featuring Alif Satar) Sallam Khalid Hassan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2017 Ya Rabbi Ya (featuring Adik Viral) DJ Fuzz Inteam Records Inteam 20 Tahun
2018 Dia Harry Khalifah Syah Inteam Inteam Records Inteam 20 Tahun
2019 Pemergianmu 1440H Frizdan Frizdan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2020 I Love Muhammad (with Jae Deen) Joshua Asare Joshua Asare Deen Starz Entertainment/Inteam Records Inteam 20 Tahun
Setanggi Syurga 2020 (featuring Khai Bahar) Isman Isam (Manis Helma) Ito Lara Inteam Records Inteam 20 Tahun
Wanita Hisyam Ahmad Hisyam Ahmad Inteam Records Inteam 20 Tahun
Terima Kasih (featuring Ikhwan Fatanna) Ikhwan Fatanna & Wan Saleh Ikhwan Fatanna Inteam Records Inteam 20 Tahun
Ittaqullah Yasin Sulaiman Inteam Records
2021 Mencari Sinar (feat. Sam Bunkface) Allahyarham Ahmadi Hassan Allahyarham Ahmadi Hassan Smiley River Online
Al-Quds Lana Ibrahim Al-Ahmad Ibrahim Al-Ahmad/Fedtri Yahya My Aqsa Defenders/Inteam Records
2022 Damba Kasih 2022 (feat. Sufian Suhaimi) Manis Helma ITO lara & Manis Alia Inteam Records
Selimut Kasih Syahril Inteam Ahmad Fedtri Yahya Inteam Records & Pertubuhan Peduli Insan
2023 Kasihku Abadi 2023 (feat. Ezad Lazim) Munif Ahmad Lukhman S Inteam Records
2024 Rabiatul Adawiyah 2024 (feat. Khai Bahar) Munif Ahmad Abdul Kahar Inteam Records
Kudus Palestin (feat. Lah Ahmad) Syahril Inteam ITO Lara Inteam Records
2025 Kias Cinta 2.0 (feat. Hadie Elfardie & Sallman Elkhoyri Manis Helma Zuryati Isa Inteam Records

Album Kompilasi Inteam & Album Lain Yang Melibatkan Inteam

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
2002 Semulia Ramadhan Seindah Lebaran Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Nur Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Junjungan Mulia 3 Warner Music
2004 Kalimah Cinta Hijjaz Hijjaz Records EMI
2004 Habibullah Hijjaz Hijjaz Records EMI
2004 Sirah Junjungan Warner Music
2005 Nur Kasih 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Kalimah Cinta 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Memori Gemilang Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Nasyid No. 1 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2006 Habibullah (Platinum Edition) Hijjaz Hijjaz Records EMI
2007 Riwayat Agung Hijjaz Hijjaz Records EMI
2008 Salamun Salam Inteam Inteam Records EMI
2010 Nasyid Hits Inteam Inteam Records Warner Music
2010 Love Allah Love Rasul (International Edition) Inteam Inteam Records Inteam Records
2010 Inteam Kembara Sedekad Inteam Inteam Records Warner Music
2016 Miracle Hits Inteam Inteam Inteam Records Sony Music
2018 The Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records Rusa Music
2020 Inteam 20 Tahun (CD Eksklusif) Inteam Inteam Records & Universal Music Malaysia Inteam Records
2025 Inteam 25 Tahun (Thumbdrive Album) Inteam Inteam Records Inteam Records

Peringkat Antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Inteam juga kini mencipta sejarah baharu apabila berjaya melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa. Bermula dengan perjuangan di tanah air, mereka kini menempah nama di pelbagai negara serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, dan Filipina. Kejayaan ini bukanlah datang sekelip mata, tetapi hasil dedikasi serta kesungguhan mereka dalam memperjuangkan muzik nasyid yang berteraskan dakwah dan mesej ketuhanan. Suara harmoni yang mantap, susunan muzik yang segar serta lirik yang menyentuh jiwa menjadikan karya Inteam diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, langkah mereka tidak terhenti di Asia Tenggara sahaja. Inteam turut menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas dengan membawa irama nasyid ke China, Mesir, Kanada, Turkiye, Lubnan, Vietnam, dan Kemboja. Kehadiran mereka di negara-negara ini menunjukkan bahawa mesej Islam yang disampaikan melalui muzik mampu diterima dalam pelbagai budaya dan bahasa. Setiap persembahan yang diadakan bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi wadah untuk menyebarkan nilai-nilai murni, kasih sayang, dan semangat persaudaraan sejagat. Lebih membanggakan lagi, pengaruh Inteam kini turut sampai ke benua lain seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, New Zealand, Algeria, dan Syria.

Ini membuktikan bahawa nasyid bukan sekadar genre muzik tempatan, tetapi satu bentuk seni universal yang mampu menyentuh hati manusia di seluruh dunia. Kejayaan ini meletakkan Inteam sebagai salah satu kumpulan nasyid terkemuka yang bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi duta kecil dalam menyampaikan mesej Islam melalui seni dan suara yang penuh keindahan. Inteam juga percaya bahawa kejayaan mereka menembusi pasaran antarabangsa bukanlah hasil usaha mereka semata-mata, tetapi turut didorong oleh sumbangan besar para penasyid terdahulu yang telah membuka jalan. Antara kumpulan yang menjadi inspirasi utama ialah kumpulan Raihan, yang sejak dahulu lagi telah berjaya membawa irama nasyid Malaysia ke pentas dunia. Kejayaan Raihan dalam memperkenalkan nasyid ke peringkat global telah memberi dorongan dan motivasi yang besar kepada generasi baharu seperti Inteam untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang seni dakwah ini.

Anugerah, pencalonan dan penghargaan

[sunting | sunting sumber]

Sepanjang penglibatan kumpulan Inteam dalam industri muzik tanah air, mereka telah menerima pelbagai pengiktirafan melalui anugerah, pencalonan dan penyertaan dalam pertandingan muzik tempatan. Kejayaan yang diraih mencerminkan dedikasi serta konsistensi kumpulan ini dalam menghasilkan karya berkualiti dan berpengaruh dalam arena nasyid moden. Melalui perjalanan karier yang panjang, Inteam bukan sahaja diiktiraf atas mutu vokal dan kreativiti mereka, tetapi juga atas sumbangan besar dalam memperkembangkan muzik berunsur dakwah. Pelbagai anugerah dan pencalonan yang diterima menjadi bukti kukuh terhadap ketekunan serta keunggulan mereka sebagai antara kumpulan nasyid paling berpengaruh di Malaysia.

Di antara kejayaan album mereka ialah kejayaan mencapai Anugerah Platinum iaitu melebihi 25,000 unit. Album pertama mereka, Kasih Kekasih sahaja telah terjual sebanyak 80,000 unit.

Kumpulan Inteam juga turut membuktikan keupayaan mereka melangkaui sempadan tempatan apabila berjaya membawa nama nasyid Malaysia ke peringkat antarabangsa. Melalui persembahan, kolaborasi serta penerimaan karya mereka di luar negara, Inteam telah menunjukkan bahawa muzik berunsur dakwah mampu diterima secara global. Kejayaan ini menjadi simbol bahawa usaha dan komitmen mereka bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah turut mendapat perhatian di arena antarabangsa.

ANUGERAH, PENCALONAN, PERTANDINGAN DAN PENGHARGAAN
Tahun Anugerah/Pertandingan Kategori Karya Album / Material Keputusan
2001 Anugerah Industri Muzik ke-8 Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Album Kasih Kekasih Kasih Kekasih Tercalon
Album Nasyid Terbaik
2005 Anugerah Industri Muzik ke-12 Album Nasyid Terbaik In-Team ‘04 Tercalon
2009 Anugerah Industri Muzik ke-16 Lagu Nasyid Terbaik Kemuliaan Al-Quran Kemuliaan Al-Quran Tercalon
2010 Anugerah Industri Muzik ke-17 Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu Allahu Rabbi Allahu Rabbi Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik Menang
Dia Muhammad Tercalon
Lagu Terbaik Tercalon
Album Nasyid Terbaik Allahu Rabbi Menang
Album Terbaik Tercalon
2011 Anugerah Industri Muzik ke-18 Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu Salamun Salam 2 Nur Muhammad Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik Bebas Palestin (bersama Rabbani, Saujana & NowSeeHeart) Tercalon
2013 Anugerah Industri Muzik ke-20 Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu Syafaatmu Iman & Aman Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik Zikir Susang Senang Tercalon
2018 Gema Gegar Vaganza Musim 2 (2018) Lagu pertandingan akhir (Rabiatul Adawiyah & Al-Haq yang satu) Tempat Ke-4
2019 Anugerah Nasyid 2019 Muzik Video Terbaik Dia Single Menang
2020 Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 Artis Nasyid Pilihan Menang
Anugerah Kembara (Khas) Menang
2024 Anugerah Carta 114 Musim Pertama Juara Selimut Kasih Single Menang
Vokal Terbaik
Lagu Terbaik
2025 Anugerah Industri Muzik ke-24 Lagu Nasyid Terbaik Kudus Palestin (bersama Lah Ahmad) Tercalon
Vokal Kumpulan Terbaik Nasab Nabi Menang

Konsert 20 Tahun Inteam

[sunting | sunting sumber]

Konsert 20 Tahun Inteam merupakan satu detik bersejarah yang meraikan dua dekad perjuangan kumpulan nasyid tersohor Malaysia itu. Konsert ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang telah menyokong mereka sejak tahun 2000. Ia menghimpunkan lagu-lagu popular seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih dan Dia, serta menampilkan kolaborasi bersama artis jemputan seperti Hijjaz, Exists, Khai Bahar, Lah Ahmad, UNIC dan Zayne, menjadikan persembahan itu bukan sekadar hiburan tetapi simbol ukhuwah antara generasi lama dan baharu dalam dunia nasyid. Pelaksanaan konsert ini turut berdepan cabaran apabila negara berada dalam tempoh pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKPB. Namun, Inteam menunjukkan kecekalan dengan menyesuaikan konsep konsert kepada format hibrid, iaitu gabungan tontonan fizikal dan atas talian. Pendekatan ini membuktikan kesungguhan mereka memastikan mesej dakwah dan hiburan rohani tetap sampai kepada penonton walau dalam situasi sukar.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, konsert ini tetap berjaya dilaksanakan dengan kemantapan vokal dan susunan muzik yang kreatif. Persembahan mereka memadukan elemen klasik dan moden, mengekalkan nilai nasyid sambil memberi nafas baharu yang segar. Ketiadaan bekas ahli, Suhaimi Saad, akibat masalah kesihatan, sedikit sebanyak menyentuh emosi penonton, namun semangat kebersamaan dan rasa syukur mewarnai keseluruhan persembahan.

Konsert 20 Tahun Inteam mendapat sambutan hangat dan pujian daripada peminat serta media yang menilai ia sebagai bukti keteguhan Inteam dalam dunia muzik. Manakala lagu baru sempena konsert ini iaitu Terima Kasih bukan sahaja menggambarkan penghargaan terhadap peminat, tetapi juga lambang kesyukuran atas perjalanan panjang mereka dalam menyebarkan dakwah melalui muzik. Konsert ini membuktikan bahawa nasyid masih relevan dan mampu terus berkembang dengan mesej positif serta nilai spiritual yang mendalam.

Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan nasyid Inteam telah menjadi fenomena dalam industri muzik Malaysia sejak ditubuhkan 25 tahun lalu, terkenal dengan lagu-lagu yang menyentuh jiwa dan mesej dakwah yang konsisten. Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun yang diadakan pada 28 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, menandakan ulang tahun ke-25 mereka dan mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dalam masa hanya satu jam.

Konsert ini menghimpunkan lagu-lagu popular seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih, Setanggi Syurga, dan TanpaMu, sambil menampilkan kolaborasi bersama artis undangan, menjadikan persembahan bukan sahaja hiburan tetapi juga manifestasi pengaruh dan legasi Inteam dalam dunia nasyid. Tema konsert Cinta Ilahi, Sayang Nabi, Kasih Insani memperlihatkan kesinambungan misi dakwah kumpulan ini sambil menyampaikan mesej rohani kepada peminat lama dan baharu. Persembahan mereka diperkaya dengan susunan muzik moden, visual menarik, serta elemen pentas yang interaktif, memastikan pengalaman menonton lebih segar dan relevan dengan citarasa masa kini. Kekuatan vokal, harmoni, dan penghayatan setiap ahli Inteam membuktikan bahawa mereka masih unggul dan konsisten walaupun sudah berusia lebih dua dekad dalam industri muzik.

Selain persembahan muzik, konsert ini turut menampilkan kerjasama dengan MINAZ Sdn Bhd sebagai penaja utama, serta rangkaian radio Astro seperti Zayan (stesen radio), Era (stesen radio), Sinar (stesen radio), dan Gegar (stesen radio)sebagai radio rasmi. Tiket dijual melalui Aplikasi Khair sebagai platform rasmi, memperlihatkan usaha Inteam memperluas pengaruh mereka dan memperkukuh hubungan dengan peminat melalui pelbagai saluran. Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa Inteam bukan sahaja menghargai seni, tetapi juga memahami pentingnya komunikasi dan interaksi dengan penonton secara moden.

Secara keseluruhannya, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun bukan sahaja meraikan pencapaian Inteam dalam industri muzik, tetapi juga menegaskan bahawa muzik nasyid masih relevan dan diminati oleh generasi lama dan baharu. Sambutan hangat terhadap konsert ini memperlihatkan bahawa legasi Inteam terus hidup sebagai fenomena muzik nasyid, yang berjaya mengekalkan pengaruh, penghayatan, dan mesej rohani selama 25 tahun.

Konsert Nur Kasih Inteam 25 Tahun

[sunting | sunting sumber]

“Konsert Nur Kasih Inteam 2025” bakal berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert ini dianjurkan bagi meraikan 25 tahun perjalanan gemilang kumpulan nasyid tersohor, Inteam, yang telah mencuri hati peminat dari generasi ke generasi.

Sepanjang suku abad, Inteam bukan sahaja menampilkan karya-karya yang indah dan penuh makna, malah kejayaan mereka bertahan lama dalam industri muzik nasyid menjadikan momen ini amat dinanti-nantikan oleh para peminat setia.

Fenomena viral semula Inteam di media sosial menambahkan lagi keterujaan peminat. Pembelian tiket “Inteam Kasih Kekasih 25 Tahun” bagaikan satu battle (pertarungan) sengit, tiket habis dijual dalam sekelip mata, menandakan besarnya kasih dan sokongan peminat terhadap kumpulan nasyid legenda ini. Sambutan hangat ini membuktikan bahawa muzik dan mesej Inteam masih relevan dan dekat di hati ramai orang walaupun selepas 25 tahun berkarya.

Konsert ini dijangka menjadi pengalaman yang penuh emosi, nostalgia, dan kenangan manis, di mana peminat berpeluang mengimbau kembali setiap karya Inteam yang inspiratif dan menyentuh hati. Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga satu penghargaan kepada dedikasi dan perjalanan seni kumpulan ini, serta perayaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada pengikut setia mereka sepanjang dua dekad setengah.

  • Selepas lebih 20 tahun berada dalam industri, Inteam sememangnya boleh berbangga kerana setiap daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kemantapan vokal setiap anggota Inteam menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang kekal utuh sehingga kini.
  • Inteam kini merupakan sebuah nama yang besar di mana mereka mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu Inteam Records. Syarikat yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 itu kini menjual pelbagai jenis barangan seperti album, buku-buku ilmiah, cenderamata, produk berasaskan makanan sunnah dan banyak lagi.
  • Biarpun Rahim mula menganggotai Inteam secara komersial pada tahun 2002, Rahim sebenarnya merupakan antara anggota terawal yang pernah menyertai Inteam sebelum kemasukan Hisyam dan Suhaimi. Rahim pernah menyertai Konsert Keranamu Kosovo di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1999 sebagai penyanyi latar bersama Syah, Hazamin dan sahabat mereka yang bernama Kamaruzaman.
  • Rahim juga merupakan calon terawal yang hendak dicadangkan oleh Syah dan Hazamin untuk menyertai Inteam. Namun Rahim tidak dapat menyertainya kerana beliau telah berpindah ke UIA Gombak (kampus induk) satu semester lebih awal daripada anggota In-Team yang lain selain berpegang pada amanah orang tuanya yang mahukan beliau fokus pada pengajian.
  • Selepas keluar dari In-Team pada tahun 2002, Hisyam Ahmad kemudiannya menubuhkan kumpulan nasyid baharu iaitu DeHearty pada tahun 2004. Kumpulan DeHearty yang bernaung di bawah label NAR Records ini terkenal dengan beberapa lagu hit, antaranya Di Hati, Inspirasi Hati, Siti Zulaikha, Abu Bakar As-Siddiq dan Permata Yang Dicari. Biarpun kumpulan ini tidak lagi aktif tambahan pula Hisyam kini kembali bersama Inteam, lagu-lagu DeHearty masih diingati peminat nasyid sehingga kini.
  • Single terbaru Inteam pada tahun 2020, Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad sebenarnya adalah lagu lama beliau bersama kumpulan DeHearty yang dikeluarkan pada tahun 2005 menerusi album Insan Istimewa.
  • Hazamin yang dilahirkan pada 7 November 1980 mempunyai saudara kembar perempuan yang bernama Siti Hazrin.
  • Suhaimi yang meninggalkan In-Team pada tahun 2005 untuk kekal bersama Hijjaz Records telah bertemu jodoh dengan Nordiana Mohd Naim atau Ina Naim yang juga artis naungan Hijjaz Records.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]